Friday, March 13, 2009

Memori Bersama Teman Sejati

Sewaktu belajar di luar negara, banyak pengalaman dan ilmu saya pelajari secara langsung dan tidak langsung. Saya bersyukur pada Allah dengan kurniaan ilmu-ilmuNya itu. Ilmu yang secara langsung itu datangnya dari high school dan juga universiti dalam bentuk ilmu dunia atau IQ, manakala ilmu yang didapati tidak secara langsung itu dari pengalaman bersama orang lain, samada dari teman atau kenalan. Ilmu ini lebih kepada ilmu ukhrawi atau ESQ (emotional and spiritual quotient).



Teman yang baik adalah suatu rahmat dari Allah SWT yang amat berharga. Mereka adalah seperti bintang-bintang pembimbing di malam yang gelap, atau seperti juga ubat yang mujarab buat mengubati penyakit yang hinggap. Teman dari kalangan orang yang beriman dapat membimbing kita ke arah jalan yang benar. Mereka mungkin lebih senior dari kita atau sebaya,
tapi yang pentingnya, mereka menggembirakan kita di kala duka dan sama bersedih di kala hiba.

Saya sememangnya mempunyai ramai teman yang baik yang menjadi cermin kepada diri saya, sekaligus membimbing saya ke jalan yang diredhai Allah. Saya bersyukur kepada Allah atas kurniaan teman yang baik ini, dan juga berterimakasih kepada mereka kerana sedikit sebanyak menjadikan saya seperti saya hari ini.

Waktu muda ialah suatu waktu yang sepatutnya kita gunakan dengan sebaiknya dan sebijaknya dan tidak sepatutnya dibiarkan ia berlalu begitu sahaja dengan perkara yang sia-sia dan dosa. Kelak kita akan ditanyai berkenaan waktu muda kita yang kita jalani itu. Kita mahu kalau boleh di usia tua merasa bangga dengan kehidupan muda kita yang kita jalani dengan baik, iaitu menjaga batasan agama, mematuhi setiap perintah Allah dan tidak sama sekali melakukan maksiat dan dosa besar. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan dosa-dosa kecil. Namun sewaktu kita muda itu pun seharusnya sentiasa memohon ampun dengan Allah dari perkara dosa kecil yang kita lakukan serta minta dijauhkannya di masa hadapan.

Teman yang baik menunjukkan jalan ke arah hidup yang berakhlak, mengajak bersama-sama menambah pengetahuan agama dari masa ke semasa tanpa lupa untuk sama-sama berhibur dengan jalan yang dibenarkan tanpa percampuran lelaki dan perempuan yang bebas dan tanpa batasan.

Teman saya yang bersama saya di luar negara semasa remaja dan belia adalah teman yang baik lagi beriman yang telah mengajak saya bersama-sama menghadiri usrah, ceramah, menghadiri tamrin dan summer training camp yang diadakan di beberapa tempat di US dan Canada. Saya rasa tenang menghadiri majlis seperti ini kerana ia serasi dengan diri saya yang dahagakan ilmu agama. Di sekolah menengah dulu, saya tidak berpeluang untuk melakukan semua itu secara bebas.

International Students Centre by 001FJ
International Students Centre di U of T

Pada suatu masa di Kipling, saya mendapat bimbingan seorang kakak Melayu, Kak Zaidah namanya, yang datang dari UK dan tinggal beberapa bulan di apatmen saya. Dia telah mengajak saya untuk menuntut ilmu Islami dengan berguru kepada clerics atau protaz seperti Dr Jamal Badawi dan juga Bro Gary Miller (Abdul Ahad Omar) seorang bekas paderi di ISC di U of T . Ini menjadi turning point saya untuk mencari lebih banyak ilmu dengan berguru di sana, dan juga di konvensyen MISG. Satu ketika juga kami sempat mendengar Bro Yusuf Islam berceramah di
Toronto. Itulah saat-saat manis kami mengejar ilmu Islami di negara barat yang tidak pernah saya duga akan terjadi.

Jami Mosque, Toronto, ON by Snuffy
Masjid Jamek, Toronto


Di masa cuti semester, bila berada di universiti teman-teman saya, ketika mana saya melihat rakan saya fasih dan lancar menghafal surah Al Quran dari juzuk Amma sewaktu menjadi imam solat, ia menjadi satu cabaran untuk saya melakukan yang sama atau lebih baik lagi.
Mereka tidak menyuruh saya menghafalnya tetapi cukuplah dengan mereka menjadi lebih bijak dalam ESQ dari saya, (dlm ilmu membaca Quran) dan ini membuatkan saya tercabar, cemburu atau 'ghibtah' terhadap mereka. Kami seolahnya dalam diam-diam pula berlumba untuk memperbanyakkan ayat-ayat Quran yang dihafal masing-masing, walaupun bagi saya, tajwid saya masih jauh dari sempurna. Dalam menghafal itu saya berdoa semoga satu hari nanti saya akan menguasai ilmu tajwid dan membaca Quran dengan baik.

Syukur Allah mengabulkan permintaan saya itu. Ada sahaja rakan dan kakak serta ustazah yang menegur dan membimbing saya dalam tajwid sehingga saat ini. Ilmu ini adalah tidak ternilai bagi saya untuk mendekatkan diri dengan kekasih saya, Allah Rabbul Jalil. Bagi saya satu accomplishment atau kejayaan kalau dapat menghafal sesuatu surah, samada pendek atau panjang. Malang sekali dalam kesibukan hidup kini, ia semakin saya lupai, samada hafazan ayat-ayat sucinya yang lalu, atau usaha untuk menghafalnya. Justru seolah-olahnya tiada apa untuk dibanggakan lagi dalam hal ini.

Namun begitu dalam muhasabah diri sendiri, saya kini sedang berusaha untuk menghafalnya semula apa yang pernah ada di minda dan dada saya dulu. Doa saya semoga semasa di kuburan nanti badan saya tetap akan utuh seperti masih hidup walaupun kerana penghafalan Quran saya yang sedikit cuma itu. Semoga Allah menerima amal saya dan menjadikan saya dan juga teman-teman saya dulu (masih teman sehingga kini) orang-orang yang dikasihiNya.

Inilah di antara teman-teman rapat saya dulu.



No comments:

Post a Comment