Monday, March 2, 2009

Memori Indah Bersama Ibu


Suatu masa dulu saya mempunyai seorang ibu yang amat
saya sayangi. Beliau telah pulang ke rahmatullah pada 6 pagi
15 Sya'aban (Nisfu Sya'aban), 1418 bersamaan 1 April 1988 secara mengejut.
Beliau pergi selamanya mengikut jejak ayah setelah 8 bulan 5 hari
ayah meninggalkan kami.

Saya amat bertuah mempunyai seorang ibu yang amat
penyayang dan penyabar. Ibu yang saya panggil Ma
banyak mendidik saya dan adik-beradik dengan adab yang mulia
dan mengajar kami mengenai Islam serta menjadi contoh teladan
yang baik sebagai seorang ibu. Sering juga di masa lapang di waktu
malam Ma akan membaca Al Quran dan membaca surah Yassin pada
malam Jumaat.

Untuk menyenangkan adik-adik saya mengaji, Ma mengupah seorang guru
(Mak Aji) untuk datang mengajar Al Quran di rumah. Ma juga seorang
yang sanggup keluar rumah untuk mencari ilmu agama samada di
masjid taman kami atau di balairayanya dengan bergurukan ustazah
yang bertauliah. Pada masa lapang, Ma akan membuat 'part time'
menjual pelbagai barangan kepada sahabat dan kenalan perempuannya
untuk mencari duit lebih.

Saya selalu diperingatkan Ma supaya teguh mendirikan solat. Dia
akan selalu bertanya kiranya saya sudah bersolat atau belum. Saya
pula mesti memberitahunya yang benar dan tidak berbohong. Begitu
juga dengan adik-beradik yang lain. Kami semua akan ditanyainya
tentang solat sekaligus menggalakkan kami melakukannya.

Semasa azan berkumandang pula, Ma menyuruh kami, anak-anaknya supaya
diam (menghormati azan) dan juga menjawabnya. Setelah itu kami
disuruh berdoa dengan apa saja doa yang kami mahu. Apabila dewasa
saya sudah terbiasa dengan keadaan ini dan akan menyuruh anak-anak
saya pula mengikuti jejak saya seperti ajaran Ma itu.

Ma seorang berhemah dalam berbelanja. Ma juga seorang yang pandai
berjimat cermat. Apabila tiada kegunaan untuk alatan letrik, lampu atau
kipas mesti dipadamnya. Telefon juga akan dikawal penggunaannya
supaya saya dan anak-anaknya yang lain tidak menelefon lama bercakap
hal yang tidak penting, kerna itu akan hanya membazir wang sahaja.

Sekarang, bila dewasa, saya bertindak seperti ibu saya yang tidak suka
pada pembaziran, walaupun pada penggunaan kertas tisu! Tetapi Ma bukan
pula kedekut orangnya, kerana dia juga pemurah untuk menderma
kepada yang memerlukan misalnya. Secara tidak langsung juga dia mengajar
saya menjadi pemurah dan senang berasa kasihan kepada mereka yang malang.

Saya menganggap Ma sebagai seorang ibu yang mithali kerana dia tidak pernah
mengabaikan tugasnya sebagai seorang isteri dan ibu yang menjalankan
kewajipan di rumah dengan baik, iaitu tugasan seperti memasak dan
juga menjaga kebersihan rumah dan pakaian kami.
Itulah ibu yang sangat saya sayangi yang selalu memberi pesan nasihat
yang berguna sehingga saya remaja dan setelah beroleh seorang cahaya mata.


Mother & Daughter by whippeltree

Setelah saya kehilangan Ma saya sering merasa sedih pabila melihat orang lain
bersama ibu mereka bermesra ria. Belum puas rasanya saya bermanja
dengan Ma kerana saya sering berjauhan dengannya semasa belajar di
peringkat sekolah menengah dan semasa di universiti luar negara.

Saya cuma berada di samping Ma, ibu saya, lebih kurang 15 tahun padu sahaja
manakala 9 tahun lagi saya tinggal berjauhan dengan ibu kerana menuntut ilmu.
Saya rasa belum sempat membalas segala jasa Ma yang amat banyak berkorban
untuk saya selama ini.

Namun begitu saya berdoa semoga ALlah akan
mempertemukan saya semula dengan Ma di akhirat nanti
di dalam jannah yang indah bersama ayah saya yang juga saya amat sayangi.
InsyaAllah...
Semoga ALlah memasukkan ibu dan juga ayah ke dalam golongan mereka
yang dikasihi dan dirahmatiNya. Ameen, ya Rabbal a'lameen.


(Klik foto untuk membesarkannya)

No comments:

Post a Comment