Saturday, January 24, 2009

Memori Di Langgar Motor

Girl hit by motobike by Documentally


Saya melangkah keluar kereta ayah hari itu dengan perasaan lebih ceria dari hari biasa
sebab ada payung baru yang ayah belikan untuk saya ke sekolah. Ia payung kecil berbunga dan bertangkai kuning yang bagi saya sangatlah cantik. Tidak pernah saya memiliki payung kecil sebelum ini. Ayah juga membelikan satu lagi untuk kakak saya.

Kakak dan abang saya keluar dari kereta untuk ke sekolah yang lebih dekat dari sekolah saya tanpa perlu melintas jalan yang sibuk. Sementara saya pula yang kurus kerdil ini perlu berhati-hati kerana kena melintas jalanraya depan masjid di simpang tiga yang sibuk dengan pelbagai kenderaan. Masa itu bulan Februari, bulan kedua sekolah dan saya sudah biasa juga melintas jalan sibuk itu. Semasa itu saya di darjah dua di SIS2, manakala kakak di darjah empat dan abang di darjah lima di SIS1.

Tapi hari itu saya telah tersilap langkah, tidak berhati-hati melihat kiri kanan dan gagal melihat sebuah motorsikal yang dipandu laju oleh seorang pemuda. Pemuda itu pula datang dari jalan sebelah kanan yang bengkok dan tidak lurus, jadi susah bagi saya untuk mengetahui kiranya ada kenderaan yang datang dari arah sana. Saya melintas dan tanpa diduga saya telah dilanggar oleh penunggang motorsikal itu. Badan kecil saya melambung ke belakang saat dilanggar dan mata kiri saya tepat mengenai handel motorsikal! Saya menjadi seperti anak patung kain yang dihentam dan terlambung tinggi ke belakang yang kemudian jatuh terjelepuk ke tanah!

bethany ~ handmade ragdoll by Poppy Lane

Saya tidak sedarkan diri semasa terjatuh di atas jalanraya. Terasa diri saya di awang-awangan. Syukur alhamdulillah kepala saya tidak terhantuk kuat di tar jalanraya, kerana kalau tidak kemungkinan pecah atau berdarah teruk. Kala itu saya mungkin menghembuskan nafas terakhir. Kiranya Allah masih memanjangkan umur saya, atau memberi saya peluang kedua untuk hidup! Jika tidak, saya tidak berada di sini untuk menceritakan ini semua..

Saya terbaring pengsan di jalanraya beberapa ketika sehinggalah ada seseorang mengangkat saya ke atas sebuah beca dan membawa saya ke sebuah klinik pekan yang jauhnya sebatu dari situ. Saya tidak tahu siapa yang memegang saya di atas beca. Saya dapat bayangkan orang ramai mengerumuni saya sebelumnya dan lalulintas yang sibuk terhenti kerana kemalangan yang saya alami. Darah saya tersimbah jalanraya...Motosikal yang melanggar saya tercampak ke tepi jalan saya kira dengan penunggangnya cedera ringan. Sesedar saja saya di klinik, saya dapati seorang doktor merawat saya dan ibubapa saya ada di sisi.

Setengah jam sebelum ayah berada di klinik itu, dia telah terdengar bunyi seperti dentuman perlanggaran kuat setelah meninggalkan saya di tepi jalan lebih kurang sejauh 100m. Dia berasa tidak sedap hati lalu memusingkan balik keretanya untuk melihat apa yang telah terjadi di simpang jalan itu. Sangkaan buruk ayah itu ternyata benar kerana memang anaknya yang ditimpa kemalangan. Walaupun badan saya yang luka parah dan pengsan itu tidak ada lagi di situ, namun payung saya yang tertinggal dan telah patah hujungnya menjadi bukti bahwa sayalah yang 'accident' itu.

Semestinya perasaan ayah cemas, sedih dan kesal kerana disebabkan kecuaiannya yang meninggalkan saya untuk melintas jalan yang bahaya itu seorang diri, saya telah beroleh kecelakaan. Serius atau tidak, hidup atau mati saya, dia sendiri belum tahu.. Itu tentunya sangat merisaukannya..maklum saja saya anak kesayangan ayah walaupun saya masih ada dua orang lagi adik. Dia terus balik ke rumah mengambil ibu untuk melihat saya di klinik kecil itu. Ibu saya rasa sangat kaget dan sedih atas apa yang berlaku pada saya. Tentunya dia berdoa tidak putus-putus untuk saya agar saya selamat. Alhamdulillah doanya makbul. Saya kira doa ibu sayalah yang paling makbul dalam dunia ini, dengan kehendak Allah jua..

Kecederaan saya agak serius dan kritikal sedangkan tidak ada kemudahan yang sempurna di klinik kecil itu. Luka kecederaan saya telah dihentikan dan diubati dengan ringkas. Doktor klinik mengesyorkan saya dihantar ke hospital. Saya telah dikejarkan ke hospital besar di ibunegeri negeri kelahiran saya yang terletak 20km dari pekan itu dengan menaiki ambulan. Itulah pertama kali saya menaiki kereta kecemasan itu bersama ibu saya. Suspen dan takut juga saya rasa maklumlah ambulan dipandu laju. Ayah mengekori dengan kereta dari belakang.

Walaupun ayah seorang guru besar di sekolah menengah yang agak terkenal di negeri kami masa itu, ayah hanya mampu memakai kereta buruk yang kecil sahaja. Kekadang kami kena menolak kereta ayah untuk men'jumpstart'nya sebelum ayah pergi ke sekolah. Walaupun begitu kami sudah cukup bersyukur mempunyai sebuah kereta. Sekolah ayah memakan masa 45 minit perjalanan dari rumah. Setiap pagi, ayah perlu cepat ke sekolah. Kerana itu Ayah tidak cukup masa nak round hantar saya pergi ke sekolah saya yang dikira out of the way dari sekolah abang dan kakak saya.

Apabila sampai di hospital besar, saya disorong dengan laju ke bilik kecemasan (ICU) dan diinjek dengan suntikan anti tetanus. Kemudian di x-ray seluruh badan untuk mengetahui samada berlaku kepatahan di mana-mana. Mata kiri saya kala itu membengkak sebesar telur itik. Saya rasa kebas dan sakit sedikit sahaja kerana mungkin telah disuntik dengan ubat tahan sakit. Apabila diketahui tulang gagah di bahu kanan saya patah melalui keputusan x-ray, tangan saya dibalut dan dibuat anduh melilit leher.


cp 2624 by otisarchives1

Saya dimasukkan ke wad bercampur dengan pesakit wanita yang dewasa. Ibu saya yang saya panggil Ma sentiasa menemani saya selama 14 hari saya di hospital.
Di masa lalu, masa berjalan dengan lambatnya.. Saya rasa teramatlah bosan dan sepi kerana tidak ada kawan dan adik-beradik lain untuk berbual. Buku-buku cerita juga tidak diberi Ayah dan Ma untuk dibaca kerana saya tidak memintanya.

Maklumlah saya baru berumur 7 tahun lebih masa tu, dan tidak tahu nak demand apa-apa. Ini menyebabkan saya rasa mahu lari keluar dari hospital dan pulang ke rumah! Setiap kali Ma tiada di sisi, saya akan mula bangun dari katil hospital dan berjalan keluar mengikut kaki tanpa arah tujuan. Makcik-makcik lain yang menjadi pesakit akan kecoh berkata, "Eh..eh.. nak kemano tu..Jange gi..!" Jururawat atau Ma akan bawa saya balik ke katil. Beberapa kali berlaku seperti itu.

Kekadang saya akan menangis kerana saya rasa sedih dan sunyi ditinggalkan bila Ma balik ke rumah beberapa jam. Rumah kami pulak jauh dari hospital kadar sejam perjalanan. Anak-anaknya yang lain juga perlu dijengok, kerana kami tiada pembantu rumah. Bagi siapa yang telah masuk hospital, pasti dia tahulah betapa boringnya berada di sana.. Tapi kita kenalah sabar demi untuk berubat dan pulih semula. Itu semua dugaan dari Allah hendak menguji kesabaran kita.

Di antara para pelawat yang menziarahi saya ialah pemuda yang telah melanggar saya dengan motornya. Dia yang bekerja sebagai peraih ikan, meminta maaf dengan ibu saya kerana telah
menyebabkan saya kemalangan dan terlantar di hospital. Ma memaafkannya kerana dia tidak sengaja sambil menasihatinya supaya membawa motor dengan waras dan berhati-hati. Saya tidak mengingati bagaimana rupanya dan tidak berasa marah padanya kerana saya masih tidak mengerti apa-apa.

Motorcyclist, Tokyo, Japan ------- TOK_DSCN7208 by Metropol 21


Selepas saya keluar dari hospital, saya tidak boleh mengangkat benda berat di tangan kanan kerana tulang gagah saya mengambil masa untuk pulih semula. Sehingga kini, saya jarang angkat beban berat di tangan kanan walaupun sudah pulih sepenuhnya. Tangan kanan saya tidak berapa kuat lagi berbanding tangan kiri.

Sejak kemalangan itu dan setelah saya bersekolah semula, ayah tidak lagi meninggalkan saya untuk melintas jalan seorang diri. Ayah akan mengambil masa untuk menghantar saya hingga ke pintu pagar sekolah. Akibatnya saya adalah orang pertama yang sampai ke sekolah setiap pagi! Sunyi pula rasanya kerana kelas masih kosong...! Ada juga kalanya saya berbasikal ke sekolah semasa di darjah 5 dan 6. Itupun setelah saya ada keyakinan diri untuk berbuat demikian.
Pernah juga saya berbasikal hingga ke pasar dan ke bandar kecil itu tanpa mengalami insiden buruk di jalanraya.

Kesan dari accident itu saya fobia bila melihat tempat saya mengalami kemalangan jalanraya, atau juga di mana saja ada berlaku accident. Saya sangat fobia jika terlihat mangsa yang cedera kerana saya pernah melaluinya. Saya berdoa semoga saya tidak terlibat lagi dengan kemalangan jalanraya, begitu juga famili dan rakan-rakan saya. Saya bersyukur kerana Allah masih memberikan saya peluang kedua untuk terus bernafas lagi pada tahun 1972 itu dan anggota badan saya tidak cacat!

Kepada pengguna jalanraya seperti kalian, berhati-hatilah selalu, terutamanya hendaklah anda menjaga anak-anak kecil kalian melintas jalan. Biar lambat asalkan selamat dan cegahlah sebelum parah kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.



No comments:

Post a Comment